Sakuraku Enterprise
Ditubuhkan pada tahun 2013 oleh Liza Sensei atau nama sebenarnya ialah Sharulizawati binti Shaari.
Beliau adalah penulis buku Mari Belajar Bahasa Jepun dan juga seorang guru yang telah lama membuka kelas belajar bahasa Jepun di Shah Alam.
Buku Mari Belajar Bahasa Jepun - Tahap 1 mula diterbitkan pada tahun 2011. Atas sambutan yang baik maka pada tahun seterusnya buku Tahap 2 (Intermediate level) berjaya diterbitkan. Begitulah seterusnya, ia disusuli pula dengan Tahap 3 (Advance level) pada tahun 2016.
Percubaan untuk mengadakan kelas adalah pada tahun 2012 .Bermula dengan sebuah kelas yang disewa di salah satu pusat tuisyen di seksyen 19 , Shah Alam dan terus berkembang untuk memenuhi permintaan semasa.
Maka, pada tahun 2016 hingga kini terdapat 4 kelas yang beroperasi di Seksyen 23, Shah Alam dan diikuti dengan kejayaan membuka 2 lagi kelas di Presint 15 Putrajaya pada tahun 2017.
*日本語*日本語*日本語*日本語*日本語*日本語*日本語*日本語*日本語*
PENULIS
Saya adalah Sharulizawati Shaari dan lebih dikenali sebagai Liza sensei. Saya adalah graduan program Dasar Pandang ke Timur atau lebih dikenali sebagai RPKJ (Rancangan Persediaan Khas ke Jepun) di Universiti Malaya dari tahun 1993-1995 sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Gunma, Jepun (1993-1999).
Kembali ke tanahair, saya ditawarkan untuk menjadi penterjemah bahasa di syarikat pemasangan kereta TOYOTA yang terletak di Shah Alam.
Sebagai penterjemah bahasa, saya bukan sahaja perlu berkhidmat di dalam syarikat tersebut,malah saya juga kerap dihantar ke Toyota Motor Corporation di Jepun untuk membantu komunikasi dua hala antara pihak di sana dengan rakan-rakan sekerja yang perlu melalui kursus masing-masing.
Setelah 5 tahun bekerja, saya ambil keputusan untuk berhenti bekerja. Alhamdulillah, pengalaman bekerja dengan ramai orang Jepun dan keupayaan berkomunikasi dengan baik menyebabkan pihak syarikat memberi kepercayaan penuh kepada saya untuk mengadakan dua kelas bahasa Jepun di situ.
Saya juga pernah dijemput untuk menjadi penterjemah bahasa oleh syarikat-syarikat lain seperti AISB,TBU, Perodua dan Matrade.
Hingga ke hari ini saya masih aktif sebagai guru bahasa Jepun kepada warga Shah Alam dan telah memulakan kelas untuk belajar bahasa jepun sejak 2012. Kini saya bergerak di bawah nama SAKURAKU Enterprise. Saya juga pernah dijemput untuk mengajar di beberapa syarikat lain seperti Hicom Yamaha, UMW Toyota, Biforst Holdings Sdn Bhd, KL Airport Services dan ada juga orang perseorangan.
Sila klik KELAS di bahagian Topik untuk info lanjut berkaitan kelas.
Idea untuk menulis buku ini ?
Pengalaman mengajar kira-kira 70 orang pekerja bumiputera, setiap tahun, di TOYOTA benar-benar memberi banyak inspirasi dan motivasi untuk menerbitkan buku ini. Mereka adalah satu kumpulan baru yang diambil setiap tahun untuk menjadi tenaga kerja yang terlatih di bawah program perantis Toyota. Dipilih berdasarkan keputusan SPM dan sijil kemahiran yang berkaitan. Tamat program, mereka akan diserap masuk ke bahagian pembuatan kereta sebagai Senior Operator.
Hairan pada mulanya, kerana baru saya sedar ramai juga yang berminat untuk belajar bahasa Jepun, walhal mereka belum tentu akan terbang ke negara Matahari Terbit itu. Saya sendiri belajar bahasa Jepun adalah kerana satu kemestian untuk melanjutkan pelajaran di Jepun. Kalau main-main, tak ada harapanlah nak ke sana! For sure akan kena `tendang` keluar dari UM (Universiti Malaya).
Jadi, dari rasa hairan itulah,ia menjadi satu perasaan untuk terus memahami pelajar saya dari sudut pemahaman dan penerimaan mereka terhadap bahasa jepun. Saya cuma ada 10 bulan untuk mengajar mereka. Kelas pula cuma sekali seminggu. Mana mungkin mereka boleh saya bawa ke tahap Intermediate atau Advance. Sekadar di peringkat Basic sahaja.
Melalui pengalaman inilah saya mendengar pelbagai soalan dan pandangan yang sentiasa memberi saya inspirasi untuk mula menulis sendiri buku belajar bahasa jepun yang lebih dekat kepada jiwa anak-anak muda ini.
Meninjau sendiri buku-buku bahasa Jepun dalam pasaran, mengakses sebanyak mungkin pautan yang ada dalam dunia internet, tetapi tiada satu pun yang dapat saya ambil untuk dijadikan contoh terbaik untuk mereka sekiranya mereka ingin belajar sendiri di rumah.
Sebab semuanya dalam bahasa inggeris dan sudah tentu menggunakan tulisan Hiragana, Katakana dan Kanji. Itulah kelemahannya. Sebagai orang baru dalam dunia b.jepun, ada jug laman web yg boleh buat kita `sesat` kerana pelbagai pautan yg tidak mengarah ke bahagian yang dikehendaki.
Maka, dari pengalaman itulah, ada rasa terpanggil untuk mengarang buku ini. Dari sudut peribadi, sekurang-kurangnya ada sesuatu yang dapat saya tinggalkan untuk dunia apabila tiba masa dipanggil pulang oleh yang empunya ilmu ini, Allah yang Maha Besar.
Alhamdulillah dengan PertolonganNya juga, dapat saya sampaikan ilmu Allah ini sebaik mungkin menerusi media cetak iaitu buku-buku saya tersebut, Mari Belajar Bahasa Jepun Tahap 1 , Tahap 2 dan yang terbaru ,Tahap 3 .